Monday, April 16, 2012

LATAR BELAKANG PERSATUAN PENDUDUK KAMPUNG TG TO'KONG

Gambaran Sepintas Lalu Pembangunan Semula Kampung Tanjung Tokong, Pulau Pinang





Latar Belakang Sejarah

• Kampung Tanjung Tokong adalah sebuah kampung tradisional yang wujud sejak sebelum era penjajahan. Kajian terperinci jelas menunjukkan kampung ini telah ada sebelum tertubuhnya bandaraya George Town. Tanjung Tokong adalah salah satu mukim ketika George Town ditubuhkan pada tahun 1839.
• Lakaran peta-peta terawal semasa pembukaan Pulau Pinang mengesahkan kewujudan Kampung Tanjung Tokong.
• Di antara bukti-bukti sejarah yang menunjukkan bahawa kampong ini telah wujud lebih daripada 200 tahun (1786-2008) dapat dikesan daripada tinggalan-tinggalan sejarah yang ada di atas tanah kampong. Di antaranya ialah batu-batu nisan tua di tanah perkuburan bukit Tanjong Tokong dan masjid asal.
• Kampung ini pada asalnya sebuah perkampungan nelayan tradisional dan terkenal dengan kaedah penangkapan ikan mengunakan jermal.
• Kawasan Tanjung Tokong terdiri daripada dua penempatan iaitu kawasan kampong asal di Jalan Lama Tanjung Tokong yang tidak tersusun dan padat serta kawasan penempatan baru yang tersusun dan berlot.
• Dalam jangka masa 30 tahun kawasan penempatan baru yang berlot telah menjadi kucar-kacir akibat pengabaian terhadap pembangunan.

Proses Pemindah Milikan Tanah

• Setelah hampir 200 tahun penempatan Kampung Tanjung Tokong, secara umumnya tiada pemilikan tanah yang diperolehi oleh penduduk Tanjung Tokong tetapi yang anehnya hanya terdapat 3 lot tanah bergeran selainnya diistiharkan sebagai TOL.
• Pada 1974 tanah penempatan penduduk Tanjung Tokong seluas 48 ekar telah diserahkan kerajaan negeri kepada Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) pada nilai RM 1.00 (Ringgit Malaysia: Satu sahaja) dengan ‘sekatan syarat khas’ bagi tempoh pajakan selama 99 tahun.
• Di samping itu UDA juga telah dianugerahkan oleh kerajaan negeri tanah tambun (reclaimed land) persisir pantai Tanjung Tokong seluas 52 ekar seawal tahun 1980 an.
• Kesan daripada pemindahmilikan tanah kepada UDA secara otomatik penduduk asal telah turun tarafnya sebagai setinggan dimatakaca UDA selaku pemaju.

Pembangunan semula Tanjung Tokong dan kesannya

• Pada umumnya plan pembangunan semula Kampung Tanjung Tokong adalah menjadi rahsia UDA ke atas penduduk.
• Dari 1974 sehingga sekarang UDA telah mendirikan rumah-rumah pangsa kos murah dan sederhana murah dengan beberapa fasa dan sebuah balai polis oleh Kementerian Dalam Negeri diatas sebahagian tanah asal (48 ekar).
• Perpindahan besar-besaran ke rumah-rumah pangsa keatas sebahagian daripada penduduk Tanjung Tokong dilakukan pada 1987 dengan suatu protes yang sangat membara oleh penduduk.
• Setelah campurtangan politik pada masa itu, penduduk asal diatas tanah TOL diberi rumah ganti rumah. Sementara anak-anak penduduk yang telah berumahtangga tetapi bermastautin di Tanjung Tokong diberi rumah pangsa pada potongan 45%.
• Dari 1990-2008, iaitu hampir 18 tahun, pihak UDA telah mengalih fokus dari membangunkan sebahagian lagi kawasan Kampung Tanjung Tokong mengikut “sekatan syarat khas” kepada perkara yang tidak jelas kepada penduduk.
• Dalam tempoh tersebut diatas, kawasan kampung yang telah sedia tersusun dikenali sebagai “Perumahan Kampung Moden Tanjung Tokong” yang dibangunkan oleh British dalam tahun 1950an dan kawasan selebihnya telah menjadi kucar kacir dengan penambahan(extension) pada rumah asal dan kebanjiran penduduk dari luar kawasan Tanjung Tokong yang menyewa dan mendirikan rumah tanpa nombor.
• Akibat daripada pemindahan penduduk kerumah-rumah pangsa yang rekabentuk dalaman yang sempit merimaskan dan ada yang hanya mempunyai satu bilik tidur dan rumah ganti rumah yang mempunyai 2 bilik telah mengundang masalah sosial yang serius.
• Penduduk yang baru saja dipindahkan kerumah transit tiada satu jaminan yang konkrit bagi masa depan.

Usaha dan saranan penduduk

• Untuk memastikan suara penduduk didengari oleh pihak pemaju iaitu UDA, para penduduk telah menubuhkan Persatuan Penduduk Tanjung Tokong (Persatuan) pada 1981.
• Melalui Persatuan, badan-badan lain dan campurtangan politik, penduduk terpaksa berpuas hati dengan apa saja sajian yang dikemukakan oleh UDA terutamanya dalam menyelesaikan masalah penduduk asal di atas tanah TOL.

• Persatuan telah sekian lama berjuang dan mengemukakan cadangan-cadangan berikut:-

1. Menangani masalah masa kini - menyelesaikan kepadatan penduduk, memohon kerajaan kegeri dan pusat membina projek perumahan mampu milik untuk golongan termiskin dan terpinggir dalam Bandar. Mereka terdiri daripada penyewa, kelamin dan penghuni rumah tanpa nombor. Persatuan mengenengahkan supaya projek ini dibina di kawasan tebus guna yang baru di depan pantai Tanjung Tokong.
2. Menerajui masa depan : Mempertahankan Kampung Tanjung Tokong sebagai ZON WARISAN MELAYU dalam Bandar Georgetown dengan menjadikan kampung tradisional tersusun yang berwajah baru menerusi pembangunan semula.
3. Menaik taraf kemudahan asas seperti jalan, sistem perparitan dan melengkapkan kemudahan awam seperti pejabat pos, padang permainan dan rekreasi, pasar, gerai penjaja kecil dan lain-lain.
4. Memberi peruntukan kepada penduduk Tanjung Tokong untuk membangunkan semula kampung ini dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.
5. Menubuhkan jawatankuasa bersama diantara kerajaan negeri, UDA dan wakil-wakil penduduk untuk menentukan perancangan, pengawasan, pelaksanaan dan pemantauan projek berjalan dengan lancar. Kerajaan negeri menjadi pemacu utama dalam jawatankuasa ini.

• Persatuan juga telah mengemukakan satu memorandum kepada YAB Perdana Menteri pada tahun 2005 supaya pembangunan semula Tanjung Tokong dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.
• Terbaru, disamping saranan Persatuan wujud juga badan lain yang mengemukankan memorandum kepada kerajaan negeri yang berkisar kepada saranan Persatuan.


Langkah selanjutnya

• Mengembelingkan semua pertubuhan-pertubuhan NGO dan politik untuk meneruskan usaha murni yang diperjuangkan oleh Persatuan selama ini.
• Bersungguh-sungguh untuk merealisasikan Jawatankuasa Bersama seperti saranan diatas.
• Menjadikan peranan kerajaan negeri sebagai paksi yang memacu proses Pembangunan Semula Kampung Tanjung Tokong demi kepentingan rakyat berdasarkan kerajaan negeri adalah pemilik asal Kampung Tanjung Tokong.

PENGENALAN


LATAR BELAKANG: Persatuan ini telah ditubuhkan pada tahun 1981. Persatuan ini adalah sebuah NGO yang didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Persatuan ini telah menjadi badan penghubung diantara penduduk dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan, badan-badan politik dan lain-lain NGO.

MOTO: "Muafakat membawa berkat"

MISI: "Pembangunan seimbang di antara tradisi dan moden"

VISI: Perkampungan tradisional melayu yang tersusun dalam arus pembangunan perdana.

OBJEKTIF: Membela kepentingan penduduk menghadapi pembanggunan semula Kampung Tanjung Tokong, Pulau Pinang oleh Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).

AKTIVITI UTAMA:
1.Mengadakan perjumpaan dan sesi penerangan kepada penduduk kampung serta mendapatkan maklumbalas daripada penduduk.
2.Mengemukakan cadangan dan pandangan kepada pihak kerajaan dan bukan kerajaan untuk mendapatkan panduan dan sokongan.
3.Mengemukakan tuntutan penduduk kepada pihak UDA dari semasa ke semasa.
4.Menghantar memorandum kepada pihak kerajaan Malaysia, Kerajaan Pulau Pinang,TYT, Kementerian-kementerian yang berkaitan, UDA, badan-badan politik dan NGO berkaitan.
5.Memberikan taklimat dan pembentangan kertas kerja/ cadangan kepada kerajaan negeri dan badan berkaitan.
6.Menyebarkan maklumat melalui internet.
7.Berusaha untuk merealisasikan penubuhan Jawatankuasa Bersama yang terdiri daripada kerajaan negeri selaku pengerusi, UDA dan wakil penduduk. Jawatankuasa ini akan menjadi suatu platform untuk perbincangan yang telus, cadangan dan maklumbalas pembangunan semula Kampung Tanjung Tokong (Terbaru).

tanda sokongan anda

sokonglah kami!!!

No comments:

Post a Comment