Monday, April 16, 2012

BERITA TERKINI UDA HOLDINGS TAWARKAN SURAT PERJANJIAN

Berita Utara

April 14, 2012 17:28 PM

Uda Holdings Serah Surat Perjanjian Kepada Penduduk Tanjung Tokong Minggu Depan

KEPALA BATAS, 14 April (Bernama) -- Uda Holdings Berhad akan menyerahkan surat perjanjian berhubung pemilikan rumah kepada 1,043 keluarga di Tanjung Tokong dekat sini minggu depan supaya 24 peratus penduduk yang masih tinggal di kawasan projek penempatan semula dapat berpindah dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Operasi Uda Land (North) Sdn Bhd Kamarudzaman Mohd Zain berkata surat perjanjian bersama tawaran yang diminta penduduk Tanjung Tokong itu sebagai mengotakan janji berhubung tuntutan penduduk di situ.


"Sehingga kini hanya 80 keluarga yang mendiami 32 buah rumah masih tinggal di kawasan terlibat dengan projek Uda manakala bakinya sudah berpindah ke rumah transit yang terletak berhadapan kampung asal," katanya kepada pemberita pada majlis Taklimat Perpindahan Penduduk Tanjung Tokong di sini.


Beliau berkata pihaknya berharap baki penduduk di situ dapat berpindah pada bulan ini berikutan tawaran dan surat perjanjian yang ditawarkan begitu istimewa.


Katanya antara tawaran yang dikemukakan dalam surat perjanjian berkenaan melibatkan empat kategori pemilik iaitu rumah tanah tumpang sementara (TOL), kelamin, rumah tidak bernombor dan penyewa.


"Bagi TOL, mereka ditawarkan dengan rumah ganti seluas 79 meter persegi, sagu hati berpindah ke rumah transit RM1,000 dan berpindah ke rumah kekal RM3,500, sekiranya enggan berpindah ke rumah transit mereka diberi subsidi sewaan sebanyak RM500," katanya.


Kamarudzaman berkata bagi kelamin dan rumah tidak bernombor pula ditawarkan rumah ganti rumah seluas 74 meter persegi serta sagu hati berpindah ke rumah transit RM1,000 dan rumah kekal RM2,000 serta subsidi sewa RM300.


Katanya penyewa yang pernah tinggal di perkampungan Tanjung Tokong lebih dari 10 tahun semasa bancian dibuat turut ditawarkan dengan kelayakan membeli rumah berkeluasan 74 meter persegi dengan diskaun sebanyak 45 peratus.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment